Wednesday, August 19, 2009

CERPEN-PARIT GUMPONG DI DAERAHMU ADICITAKU TERAPUNG

Mat menyandarkan badannya pada kerusi. Jauh di sudut hatinya dia berasa puas. Pelajar-pelajarnya dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia bersama-sama barisan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI menggemblengkan tenaga melaksanakan tanggungjawab sosial kepada negara. Kutipan derma sudahpun diserahkan kepada pihak universiti yang kemudiannya akan diserahkan pula kepada Tabung Dana Kemanusiaan Palestin. Hatinya tersentuh dengan ucapan bersemangat Naib Canselor UPSI dalam perhimpunan aman membantah pembunuhan rakyat Palestin oleh regim Israel di Semenanjung Gaza. Tanpa disedari air matanya menitis melihat liputan media berhubung pembunuhan kejam rakyat Palestin yang tidak berdosa itu.
“Bagaimanakah nasib rakyat Palestin? Sampai bilakah rejim Israel akan terus mengganas? Bagaimanakah pula nasib anak-anak Palestin dalam pelajaran? Adakah mereka akan terus tercicir daripada sekolah seperti diriku suatu masa dahulu?” bisiknya dalam hati. Mat berdoa agar kekejaman regim Israel di Semenanjung Gaza akan segera berakhir.
Mat seakan-akan terdengar orang mengetuk pintu biliknya. Dia bangun dan berjalan ke arah pintu. Daun pintu dikuaknya namun tiada siapapun di luar.
“Siapa yang ketuk pintu? Ah! Mungkin hanya perasaan aku saja,” bisik hatinya.
Di luar bangunan, hujan mencurah lebat. Angin berdesau kencang. Sesekali kilat sabung-menyabung dan guruh berdentum membelah angkasa. Mat menutup kembali daun pintu itu dan kembali ke mejanya. Dengan tidak disengaja dia terlanggar hujung rak buku. Buku tebal berwarna biru tua meluncur jatuh. Mat tunduk mencapai buku itu. Kelihatan sekeping gambar terkeluar dari celah buku tersebut.
Mat menatapnya seketika. Dia tersenyum. Gambar itu gambar lama; barangkali dalam tahun 1975. Ketika itu dia dan kawannya sedang makan Wadai Kepeng, kenduri pindah rumah jirannya, Azhar di Parit Gumpong. Kampung sawah padi yang permai itu terletak empat kilometer dari pekan Kuala Kurau, Perak Darul Ridzuan. Hairan, bagaimanakah gambar lama itu tersisip di dalam buku yang jatuh tadi? Lama Mat menatap gambar tersebut. Kemudian bersenandunglah lagu lama di sudut memorinya.
Tajak yang tajam berkilat itu dihayunnya tinggi sebelum dihempaskan ke perdu menerung dalam petak sawah. Percikan air sawah yang keruh membasahi tubuhnya. Mat terus menghayunkan tajaknya. Rebah lagi batang-batang menerung di hadapannya. Kemudian, ditariknya batang menerung dengan tajak ke sisi. Keringatnya menitis berbaur air sawah yang keruh separas betis. Matahari terus terik di ubun kepala. Mat tidak menghiraukan itu semua. Dia terus menghayunkan tajaknya tinggi di angkasa. Leteran emak tirinya saban hari benar-benar membingitkan telinganya. Ayahnya yang sudah uzur itu hanya membisu. Namun baginya yang berusia 16 tahun ketika itu, leteran tersebut melemaskan hati yang sedia gulana.
“Sawah orang lain sudah hampir habis ditajak. Sawah kita belum lagi sudahnya. Mat memang penyegan! Mat balog liat!! Kalau macam inilah sampai kiamat pun menerung yang berceragah di sawah itu tidak akan habis ditajak,” terngiang-ngiang suara nyaring emak tirinya.
Mat lemas diasak leteran begitu. Memang sejak subuh lagi dia sudah meleterinya. Mat capai tajak di rasuk rumah dan melangkah longlai, berbekalkan air sejuk menuju sawah yang tidak jauh dari rumah. Dalam suasana pagi yang hening itu dia meredah lorong kecil ke sawah. Mat terkejut beruk apabila loceng basikal dibunyikan kuat di belakangnya. Zul menghulurkan sebungkus kuih yang masih panas kepada Mat. Mat menyambutnya dan mengangkat tangan kepada Zul dan adiknya Siti Rohani yang berunifom sekolah dan tersenyum memandangnya.
Mat cuma membalasnya dengan senyuman hambar. Dahulu dia bersama-sama mereka mengayuh basikal ke sekolah, namun kini tidak lagi. Kemiskinan tegar yang mencengkam keluarganya dijadikan alasan untuk memaksa Mat berhenti sekolah. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa luluh hatinya. Apalah dayanya! Sebagai anak dia taat dan patuh akan ayahnya. Pernah Cikgu Abdul Rahim Layang dan Cikgu Muhammad Abdullah menaiki vespa sprint datang ke rumah memujuk ayah agar mengizinkannya bersekolah semula, namun suara meninggi emak tirinya memeningkan kepala dua orang guru tersebut. Mat masih ingat suara ayahnya terketar-ketar meminta maaf atas kelakuan isterinya itu. Sejak itu tiada siapa lagi yang menghiraukan dirinya. Dia terus tercicir dari sekolah.
Mat mengesat air matanya yang tertumpah. Kelibat dua orang sahabatnya itu kian hilang di jalan besar. Dari pekan kecil Parit Gumpong, hanya Zul seorang sahaja yang berbasikal ke sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang, sementara adiknya Siti Rohani naik bas sekolah Haji Endik ke Sekolah Menengah Methodist di Parit Buntar, Perak Darul Ridzuan.
Mat terus menghayunkan tajaknya. Batang-batang menerung yang tinggi itu kian banyak rebah. Sesekali hatinya bangga kerana sudah luas juga petak sawah itu dikerjakan. Hatinya hairan, mengapakah masyarakat kampungnya susah benar untuk menerima pemodenan? Seingatnya pegawai pertanian Daerah Krian sudah banyak kali menyeru petani menggunakan jentera pertanian moden yang boleh disewa daripada Pertubuhan Peladang Kawasan. Namun banyak yang masih keliru. Mereka kurang faham tentang konsep pertanian moden. Mungkinkah mereka akan berubah jika penerangan diberikan oleh anak tempatan yang terpelajar.
“Tapi bagaimana? Aku sendiri disuruh berhenti sekolah dalam usia semuda ini? Bagaimanakah aku hendak mengubah sikap mereka?” soal Mat sendirian.
Dia menoleh ke belakang. Petak sawah itu dahulunya dipenuhi menerung kini sudah banyak yang rebah ke bumi. Setiap kali mata tajaknya menyentuh perdu menerung burung gelam, wak-wak, puyuh, dan sintar api kelihatan terbang rendah. Mat cukup geram melihat burung-burung itu. Dahulu dia, Zul, Din, Lee, Azhar, Latib, Mie Hanafi, Ishak, Manaf, Fuad, Bakar, Saad, dan Harun sering terhendap-hendap menyelinap masuk ke petak sawah yang dipenuhi menerung untuk mencekup burung dalam hujan lebat. Masing-masing ada sebatang kayu sebagai senjata. Kayu itu akan dibaling ke arah burung-burung tersebut. Dalam hujan lebat burung itu tidak akan mampu terbang jauh kerana sayapnya basah kuyup.
Mat dan kawan-kawan umpama askar di medan perang. Mereka akan menyusup dan mengejar burung-burung yang kesejukan dalam rumpun menerung. Mereka akan ketawa terkikik-kikik apabila berjaya mencekup beberapa ekor burung yang kesejukan itu. Burung-burung itu disembelih dan digoreng kunyit. Kecur air liurnya membayangkan kelazatan burung goreng rangup itu. Namun suasana itu sudah berlalu. Kawan-kawan sebayanya tekun bersekolah dan tidak seperti dirinya yang bergelumang selut di sawah. Hati Mat hiba mengenangkan keindahan alam persekolahannya dahulu.
Mat terus menebas batang menerung di petak sawah dengan gagahnya. Mat membayangkan dirinya umpama Kapten Hassan dari Rejimen askar Melayu Diraja dalam pakaian tempurnya menumbangkan ramai pengganas komunis yang hendak menggugat kedaulatan Malaysia, tanah air tercinta.
“Semoga arwah Kapten Hassan dan seluruh pahlawan negara dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan dihimpunkan bersama para syuhada,” doa Mat dalam hatinya. Mat tersenyum puas. Mat bangga menjadi anak petani Parit Gumpong yang saban waktu bergelumang dengan selut dan lumpur.
“Lepas habis menajak, Mat kenalah melonggok batang menerung itu pula. Selepas itu Mat perlu membawanya ke batas sawah. Anak semai padi yang diredih dahulu nampaknya sudah membesar. Sudah sesuai untuk ditanam secara berderau dengan orang kampung,” lembut suara ayahnya menyentuh gegendang telinga.
Mat tersenyum dan mengangguk tanda faham. Namun suasana ceria dua beranak itu mati dipancung emak tirinya dengan kata-kata sinis.
“Eloklah tu. Dah berhenti sekolah jangan dok berlagak pula. Kena kerja lagi rajin bantu keluarga. Jangan dok tahu mentedarah saja!” Suara itu tajam bagaikan sembilu. Hatinya terasa pedih dan berdarah. Biarpun begitu Mat tak pernah menjawab kutukan emak tirinya itu.
“Tak baik cakap macam tu, Bedah. Mat itu anak awak juga. Dia dah remaja. Kena jaga perasaannya,” suara ayahnya kedengaran perlahan dan bergetar.
Ayahnya terbatuk-batuk seketika. Minyak geliga cop keris dalam kotak merah itu digosoknya ke dada. Di tepi dinding ada botol tonik cop gajah yang sudah hampir kering. Mata layu ayahnya merenung wajah Mat yang duduk membatu di atas tikar mengkuang lusuh yang bergulung di hujungnya.
“Mat tu anak tiri Bedah. Ikut suka Bedahlah nak kata apa kat dia. Bukan boleh manjakan sangat budak penyegan dan balog liat macam tu! Nanti dia naik ketegag pula!” Suara emak tirinya kedengaran meninggi.
Mat hanya membisu dan memandang wajah ayahnya yang kian uzur. Badan ayahnya kian kurus menampakkan tulang rangkanya satu per satu. Sejak akhir-akhir ini ayahnya kerap sakit dan terbatuk-batuk. Kadangkala batuk ayahnya menjadi-jadi dan bertukar menjadi penat pula; berbeza pula dengan tubuh emak tirinya yang semakin hari semakin boyak terenyak-renyak!
Wajah emak tirinya itu sering kelihatan mencuka. Entah apa yang tidak kena Mat pun kurang pasti. Mat sedar, selepas emaknya meninggal dunia dahulu, dialah yang mencadangkan agar ayahnya berkahwin lagi. Namun selepas empat bulan berkahwin perangai emak tirinya mulai bengis macam singa betina kehilangan anak. Pernah suatu malam Mat dengar emak tirinya menghasut ayahnya agar memberhentikan persekolahannya supaya bekerja di sawah. Mulanya Mat ingin membantah, namun terpaksa akur arahan ayahnya.
“Abang tak mahu sambung sekolah lagi ke?” lembut suara Siti Rohani anak Haji Shaari, Imam Kampung Parit Gumpong. Mat mengeluh mengenang nasib dirinya. Lama Siti Rohani menunggu jawapan dari mulutnya, namun Mat terus membisu.
“Siti kesian lihat abang. Sudahlah terpaksa berhenti sekolah, dipaksa pula turun ke sawah awal-awal pagi. Kadang-kadang dipaksa pula ke kepala tanah untuk mengait kelapa. Makcik Bedah senang-lenang mengarah itu dan ini dari atas rumah,” Siti Rohani mendengus.
Wajah Siti Rohani yang dalam tingkatan dua itu dipandangnya. Tiada perkataan terhambur daripada mulut Mat. Bagi Mat hanya Siti dan Zul yang memahami isi hatinya. Mereka kawan rapatnya. Semua masalah dikongsi bersama. Tiada rahsia antara mereka. Mat senang dapat bersama-sama Siti. Ayah dan emak Siti juga seperti merestui persahabatan mereka.
Mat memperlahankan hayunan tajaknya. Dia sudah keletihan. Lambat-lambat Mat meninggalkan tajaknya seketika dan berjalan mendapatkan batu asah yang ditinggalkan di tepi batas sawah. Seekor ikan haruan sederhana besarnya mati terkena tajaknya yang tajam berkilat itu. Sempat Mat meneguk air sejuk yang di bawanya dan mengunyah kuih kalakatar berintikan kelapa muda yang diberikan oleh Zul tadi.
“Ahh! Adakah aku tetap begini sehingga tua? Bergelumang lumpur sawah? Tak dapat bersekolah semula? Aku ingin jadi pensyarah universiti. Bolehkah? Atau aku hanya bermimpi di siang hari?” soal Mat dalam hati.
Setelah perutnya diisi, Mat berjalan semula menuju ke arah tajak yang ditinggalkannya. Dia melabuhkan punggungnya di atas batang menerung yang sudah tumbang itu sambil mengasah tajak beralaskan pelepah kelapa agar kembali tajam berkilat. Bunyi batu asah yang berdesir menjadi irama merdu yang sering menghiburkan hati laranya. Mat tekun mengasah mata tajaknya hingga kembali tajam berkilat.
Minggu lepas Mat mengait kelapa di hujung tanah sawahnya. Ada lebih kurang 20 batang pokok kelapa yang ditanam datuknya. Semuanya sudah tinggi menjulang. Mat gunakan galah buluh yang disambung di tengahnya. Zul dan Siti menolongnya menghimpun buah kelapa yang sudah dikait. Kemudian Mat akan kopek kelapa dengan besi tajam yang dipanggil cop.
Becok mulut Siti berebut kumboi kelapa dengan abangnya, Zul. Mat hanya ketawa melihat kaletah dua beradik itu. Mat hadiahkan mereka buah kepala muda. Mereka ketawa terkikik-kikik melihat perut Mat yang membuncit dipenuhi air kepala muda. Mat tidak kisah diketawakan Siti.
Pak Mail Kambing datang dengan basikal berjenama Hirocules membawa kelapa yang sudah dibelah ke kedai abangnya Ishak Itek. Petangnya, Mat dan Zul ke kedai Ishak Itek, pemborong kelapa untuk mengambil wang jualan. Mat ketawa terkikik-kikik menerima wang jualan kelapa walaupun Ishak Itek ada memberitahunya harga kelapa mulai merudum dalam pasaran. Mat juga tak kisah jika Ishak Itek kata jumlah kelapa yang dijual dipotong sebiji bagi ’basi’ setiap sepuluh biji buah kelapa yang dijualnya.
Duit jualan kelapa diserahkan semua kepada ayahnya. Kemudian ayahnya menyerah wang itu kepada emak tirinya untuk disimpan. Mat terkebil-kebil menerima hanya dua ringgit sebagai upah mengait dan menjual kelapa. Walaupun begitu Mat terima juga dengan hati yang reda.
Mat bangun dan mengeliat seketika. Dia tertinjau-tinjau ke arah jalan memerhati sesuatu. Dari jauh kelihatan Siti Rohani mengayuh basikal Raleigh hitam brek hup kembali dari sekolah. Kelibat Zul tidak kelihatan. Mungkin Zul masih mengayuh basikal dari sekolahnya yang sejauh 10 kilometer itu. Memang memenatkan apabila mengayuh basikal dalam jarak begitu. Namun jauh di sudut hatinya Mat berazam untuk menyambung semula persekolahannya yang terhenti.
Mungkin ayahnya mengizinkan, tetapi bagaimanakah pula dengan emak tirinya? Mat menimbang-nimbang di dalam hati. Apabila terbayang wajah emak tiri yang menyingga itu semangat Mat untuk bersekolah kembali mengendur. Mat bagaikan boleh mengaggak kata-kata yang bakal dihamburkankan emak tirinya. Mat mengeluh lagi. Kakinya terasa longlai melangkah petak sawah untuk pulang ke rumah.
“Buat apa tu, Mat?” sapa Zul dari atas basikal. Keringatnya membasahi uniform sekolah. Zul memberhentikan basikal jenama Robin Hood berwarna hijau tua itu dan memandang wajah Mat yang iras pelakon Mustafa Maarof. Zul tersenyum memandang Mat yang sedang menggagau ikan sepat di bawah kapar pokok kangkung yang tumbuh menjalar di tepi parit. Dua tiga ekor ikan sepat benua yang putih kehijauan itu terlompat-lompat dicampak oleh Mat ke atas jalan. Zul juga lihat ada seekor ikan haruan yang sederhana besarnya sudah mati terluka badannya mungkin terkena tajak agaknya. Zul faham tanggungjawab kawannya itu amat berat.
Zul hanya menggeleng-gelengkan kepala tanda simpati akan nasib kawan baiknya itu. Seekor lagi ikan sepat benua dilontar Mat dari dalam parit. Ikan itu terlompat-lompat di atas jalan. Bila melihat ikan sepat itu teringat Zul pada musim buang air dari sawah. Pagi-pagi lagi kelihatan ramai orang kampung turun ke parit itu dengan dawai putih yang digigit di mulut. Masing-masing menggagau ikan dalam air yang mulai kering itu. Ikan sepat yang berjaya ditangkap dengan tangan akan dicucuk mata pada hujung dawai yang digigit ke mulut. Masing-masing ketawa terbahak-bahak bila membawa naik ikan dari dalam parit yang berjaya ditangkap. Tidak kurang pula yang menimba telaga untuk menangkap ikan yang lebih banyak untuk dijual pada perais yang menanti.
“Macam inilah, lepas habis menajak aku kena tangkap ikan sepat pula untuk lauk tengah hari. Kalau tidak berdesing lagilah telinga ini. Rimas aku mendengarnya” ujar Mat dan ketawa pahit. Dari mata Mat, Zul tahu kawannya itu masih ingin bersekolah seperti dirinya.
“Mat jomlah bersekolah semula. Semua cikgu bertanyakan awak”
“Siapa?” soal Mat kembali. Bola matanya kelihatan bersinar.
“Cikgu Mahzam Bee Ibrahim, Cikgu Azizah Hussin, Cikgu Salmiah, Cikgu Hussin Kamdi, Cikgu Che Pa Hashim, dan Cikgu Hussin Harun selalu bertanyakan awak. Mereka kata sayang, awak terpaksa berhenti sekolah di usia muda begini.” Zul berkata penuh emosi. Mat terlompong mendengar ramai nama cikgu yang masih ingat akan dia.
“Aku sedar itu. Namun, ayah minta aku berhenti. Aku terpaksa akur walaupun sudah puas merayu,” ujar Mat perlahan.
“Awak pujuklah dia sekali lagi. Mencuba lebih baik daripada mendiamkan diri. Ini masa depan awak, awak kena ingat Mat!” ujar Zul memberi semangat.
“Entahlah. Dulu cikgu Rahim Layang dan Cikgu Mad Dollah dah pujuk ayah aku, tapi emak tiri aku tak bagi. Mungkin nasib aku kot, hanya sekolah setakat tingkatan satu sahaja,” ujar Mat kembali dan menggelengkan kepalanya.
“Awak tak sekolah rasa tak seronoklah. Saya seorang-seorang kayuh basikal ke sekolah. Bosan betul!” ujar Zul kembali. Mat terdiam seketika.
“Awak kena ingat Mat! Ikan sepat yang dicucuk matanya dengan dawai dan dilurut ke belakang umpama nasib bangsa kita jika terus ketinggalan dalam pelajaran. Ini masa depan bangsa kita Mat!” Zul cuba membakar semangat kawannya itu. Mat terkedu mendengar ungkapan kawannya itu.
“Aku memang ingin bersekolah semula. Tapi aku kena berhenti untuk membantu keluarga. Bolehkah aku dibenarkan belajar semula?” soal Mat sedih.
Setitis air matanya tertumpah di pipi. Mat berhenti menggagau ikan. Dia mula membersihkan diri. Zul hanya memandang wajah sugul kawannya itu sambil tersenyum. Terdetik rasa simpati dalam hatinya. Baru dia teringat berita yang dimaklumkan oleh Zainab Abdul Aziz dan Salmah Kassim, teman sekolahnya pagi tadi. Berita baik itu ingin dikongsi bersama-sama Mat kawan baiknya itu.
“Saya dengar Sekolah Agama Rakyat Al-Falah di Parit Tok Ngah Tanjung Piandang sudah diberi kebenaran oleh Pejabat Pelajaran Krian untuk mengambil pelajar-pelajar tercicir untuk peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) mulai tahun ini. Kalau awak lulus SRP boleh ambil SPM dan STP. Manalah tahu, kalau boleh masuk ke universiti pula. Awak siap, nanti petang kita pergi tanya di sekolah itu. Manalah tahu kalau-kalau mereka masih boleh menerima awak.” Kata-kata Zul itu memberikan harapan untuk Mat belajar semula. Segera dia mengangguk tanda setuju.
Selepas makan tengah hari, Mat meluahkan hajat hatinya. Seperti yang dijangka emak tirinya menghamburkan kata-kata sinis yang menggigit perasaannya.
“Tok sah dok gatai! Dah berhenti sekolah buatlah cara berhenti. Tok sah nak sambung balik! Sawah bendang sapa nak buat? Mengarut!” suara emak tirinya meninggi dan menyakitkan hati.
“Biarlah Bedah. Mat dah janji tak akan minta duit awak. Dia janji akan ke sawah sebelah pagi dan bersekolah sebelah petang. Abang pun rasa bersalah bagi dia berhenti sekolah dulu,” lembut suara ayah. Asap dari dapur kayu masih berkepul memedihkan mata. Namun hati Mat lebih pedih ketika diberhentikan sekolah dua tahun dahulu.
“Tok sah mengarut! Tok sah bergradon! Mat bukan budak pandai. Mat budak bengap! Mat bodoh piang! Tak sampai ke mana pun kalau bagi dia sambung balik sekolah! Percayalah cakap Bedah bang oii!” Suara emak tirinya meninggi.
“Tapi mak ....” Suara Mat tersekat di kerongkong. Matanya liar memerhati wajah ayah yang layu dan wajah emak tirinya yang merah menyinga itu.
“Tak dak tapi tapi. Tak reti bahasa kot budak bodoh ni?” jerkah emak tirinya. Tangan kiri emak tirinya yang besar itu menepuk ke lantai. Rumah kayu beratapkan nipah itu bergegar seketika. Serentak. sebutir pinggan kaca melayang laju. Mat tidak sempat mengelak. Birai pinggan kaca itu menghentam keningnya. Pandangan Mat terasa gelap. Pinggan itu pecah berkecai di atas lantai.
“Apa salah Mat? Mengapa emak begitu bencikan Mat?” soal Mat sebak.
Terasa pedih bahagian atas keningnya. Darah merah membasahi wajahnya dan menitik ke lantai. Tindakan emak tirinya sudah melampau. Mat bingkas bangun menahan emosi marahnya dan turun ke tanah. Selama ini dia tidak pernah sekalipun melawan cakap emak tirinya. Dia dididik supaya jangan derhaka kepada orang tua oleh arwah emaknya.
Serentak itu emak tirinya mengejar dari belakang dengan rambut mengerbang..
“Gedebap!”
Tanpa diduga, belakang badan Mat dihentam benda keras. Pedih ngilu tidak tertahan dan Mat jatuh tertiarap. Belum pun sempat Mat bangun, kepalanya pula cuba dihentam. Mujur Mat sempat mengelak. Mat berlari kencang ke dalam belukar tidak jauh dari rumahnya. Dari jauh Mat dengar suara ayahnya tengelam timbul memarahi emak tirinya. Namun suara ayahnya yang terbatuk-batuk itu diselang seli suara meninggi dari emak tirinya yang membela diri. Kecoh benar bunyinya mereka bertengkar. Mat tidak faham mengapa emak tirinya boleh naik angin sebegitu.
Mat memegang dahinya. Luka di atas keningnya masih berdarah dan berdenyut-denyut. Setelah agak lama, Mat berjalan longlai ke tepi telaga tidak jauh dari rumah Siti Rohani. Dia bertenggek di atas perdu pokok mempelam telor yang condong ke tengah telaga. Kelihatan dua ekor itik air berenang-renang di permukaannya. Lama Mat termenung di tepi telaga. Orang kampung yang lalu lalang di jalan kampung itu tidak dihiraukannya. Mat terkejut apabila bahunya disentuh seseorang.
“Bersabarlah Mat. Pak Aji dah tahu Mat nak bersekolah semula. Siti yang bagi tahu. Baguslah, Mat ada semangat begitu. Kerja sawah bila-bilapun ada. Peluang untuk belajar datang hanya sekali sahaja,” lembut suara Pak Imam menusuk hatinya.
Siti mengesat darah di kening Mat dengan kain tudung kepalanya. Mat biarkan sahaja walaupun di hadapan ayahnya. Dalam hati dia bersukur kerana masih ada yang menyayanginya. Wajah Siti Rohani yang jelita itu dipandangnya dengan mata berkaca-kaca.
“Mat memang hendak belajar semula Pak Aji, tetapi ...” suara Mat tersekat di kerongkong.
“Beginilah Mat. Pak Aji akan cakap dengan ayah dan emak kamu. Soal belanja persekolahan biar Pak Aji yang tanggung sepenuhnya. Insya-Allah, niat suci kamu itu akan dimakbulkan,” lembut suara Pak Imam memujuk.
“Terima kasih banyak Pak Aji. Jika ayah dan emak izinkan, Mat janji akan sambung semula persekolahan. Mat akan belajar bersungguh-sungguh hingga ke universiti,” ujar Mat penuh semangat.
Baguslah kamu berazam begitu. Sekarang tahun 1975 dan kamu masih ada banyak masa. Belajarlah bersungguh-sungguh hingga ke liang lahat. Kalau boleh jadilah seorang berilmu seperti pendeta Za’ba. Jadilah seperti Tun Abdul Razak yang membela nasib bangsa Melayu. Paling tidakpun jadilah guru cemerlang seperti guru lepasan MPSI dari Tanjung Malim. Mungkin suatu hari nanti akan terbina sebuah universiti tersohor di sana,” lembut tutur Pak Imam yang juga bekas penuntut SITC.
Siti tersenyum mendengar kata-kata ayahnya. Dia melirik ke wajah Mat. Mat membalas pandangan Siti. Ada getaran yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
“Insya-Allah, Pak Aji,” suara Mat tersekat di kerongkong. Matanya kembali bersinar. Harapannya yang layu kembali bersinar. Gambaran suasana belajar di sekolah indah terbayang-bayang di ruang matanya.
Dulu, abang kata nak belajar sampai dapat Ph.D. Bukankah cita-cita abang nak jadi pensyarah universiti?” ujar Siti sambil tersenyum mempamerkan lesung pipit di pipi kanannya yang menggoda. Mat tersipu malu.
“Baguslah begitu Mat. Anggaplah usaha kamu untuk menyambung pelajaran seumpama mengasah tajak di sawah. Untuk berjaya, berusahalah agar tajak kamu itu sentiasa tajam,” ujar Pak Imam sambil menggenggam erat tangan Mat.
Mat mulai ceria bersemangat. Dari jauh kelihatan Zul berbasikal ke arahnya untuk menemaninya ke sekolah agama Al-Falah. Mat tersenyum dalam mata yang masih berkaca-kaca. Segera dia bangun dan berlari ke arah Zul. Segera dia membonceng basikal menuju ke Sekolah Agama Al- Falah di Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang.
Dentuman guruh di langit memutus kenangannya. Mat mengesat air matanya. Gambar yang berada ditangannya dikucup lama. Mat begitu rindu suasana kampungnya yang indah permai. Telefon bimbitnya berdering beberapa kali dan Mat bercakap seketika dengan pemanggilnya. Terpamer senyuman di wajahnya. Mat melangkah keluar dari biliknya di tingkat tiga bangunan itu pada pukul 6.30 petang. Dia menoleh sebentar memandang papan tanda di pintu biliknya. Tertera namanya, Profesor Dr. Ahmad bin Zainal. Mat tersenyum puas.
“Alhamdulillah, tajakku masih tajam. Terima kasih Pak Imam, terima kasih Parit Gumpong, di daerahmu adicitaku terapung,” bisik hati Mat penuh syukur. Janjinya pada Haji Shaari, imam Parit Gumpong suatu masa dahulu sudah pun ditunaikannya.

CERPEN-MENANTI DETIK HUJAN TEDUH

Hujan mencurah dengan lebatnya. Angin berdesau kencang. Sesekali kilat sabung menyabung dan guruh berdentuman membelah angkasa Universiti Pendidikan Sultan Idris. Universiti keramat itu terletak di Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.
”Universiti keramat? Bukankah terlalu agung gelaran itu?” soal seorang siswi itu kepada temannya.
”Memang keramat!...Ramai tokoh pejuang semangat kebangsaan lahir dari Sultan Idris Training Collage (SITC) yang dibangunkan pada tahun 1922. Sejak itu, institusi ini telah berkembang dan dinaikkan taraf menjadi sebuah universiti yang bitara dalam kepimpinan pendidikan di negara tercinta ini.” ujar temannya kembali.
”Alangkah besarnya pengorbanan guru-guru Melayu!” bisik siswi itu kembali dan ungkapan itu menggegarkan urat sarafnya. Jauh di sudut hatinya dia merasa bangga kerana dilahirkan sebagai bangsa Melayu yang bermaruah!
”Memang benar! Kita harus bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada pelajar universiti ini. Universiti ini banyak berjasa kepada dunia pendidikan dan pembentukan negara bangsa” siswi itu berkata penuh bersemangat. Dia tersenyum puas. Kuliahnya di Dewan Kuliah H baru sahaja berakhir. Kini dia menanti detik untuk pulang ke kolej kediaman. Namun hujan di luar sana masih terus mencurah.
”Bagaimana aku hendak balik? Entah berapa lama lagi hujan ini akan teduh? Terlupa pula hendak bawa payung” rungut siswi itu perlahan. Namun rungutan itu dihanyutkan angin berdesau kencang yang menerobos ke dalam bangunan di mana ramai siswa dan siswi masih berteduh. Siswi itu berbaju kurung kekuningan dengan bunga-bunga halus berwarna merah. Bertubuh tinggi lampai, berkulit putih gebu dan kini dalam semester lima program pendidikan matematik dari Fakulti Sains dan Teknologi.
Dia ingin segera pulang ke kolej kediaman di kolej Za’ba yang terletak di Kampus Sultan Azlan Shah tidak jauh dari Banjaran Titiwangsa. Di sebelah kolej tersebut terletak pula kompleks kilang kereta Proton di kawasan perindustrian Proton City yang mengeluarkan kereta nasional yang megah menyusur di jalanraya.
“Alangkah berbangganya kita sebagai rakyat Malaysia kerana industeri automotif negara setanding dengan negara-negara maju yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang cemerlang.” ujar Razali bin Ahmad Zabidi, siswa berkulit hitam manis, berkumis nipis pada suatu petang yang permai.
“Cemerlang? Apa kaitannya dengan kita?” siswi itu bertanya kembali. Wajah siswa itu dipandangnya.
”Tentulah! Bukankah kita bakal graduan cemerlang dari universiti keramat ini” siswa itu melirik wajah siswi itu dengan pandangan yang redup.
”Apakah indikator kecemerlangan?” siswi itu bertanya lagi. Wajah siswa itu dipandangnya secara menyeluruh.
”Cemerlang dalam akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan sahsiah diri” siswa berkata penuh semangat. Dia merasa kagum melihat gambar Cik Norasikin binti Fabil pensyarah dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi terpamer gambarnya di foyer Canselori setelah memenangi pingat emas dalam Information Visualization: An Innovation In The Visualizing The Sanad Of Hadith dalam Malaysia Technology Expo 2009.
Sebagai pemimpin pelajar dalam Majlis Perwakilan Pelajar dan pernah terlibat memimpin pelajar di peringkat kolej kediaman, pelbagai program pembangunan sahsiah pelajar pernah dirangka dan dimajukan untuk kelulusan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni. Mengingatkan itu dia tersenyum puas. Bayu dingin dari kemuncak Banjaran Titiwangsa berhembus lembut membelai wajah mereka yang sedang berjalan bergandingan di tepi tasek Proton di suatu petang yang cerah.
”Sue”
”Hmm..”
”Boleh I tanya you sesuatu?” siswa itu melirik wajah siswi itu yang nampak ayu. Siswi itu menoleh memandangnya.
”Boleh, apa dia?” soal siswi itu kembali. Mereka terus mengatur langkah di siar kaki di tepi tasek Proton yang indah pemandangannya itu. Sesekali siswa itu meraup rambutnya yang lurus dan terpamer senyuman di bibirnya.
”Did you have a someone special?” lembut soalan siswa itu. Dia tersenyum dan melirik wajah siswi itu, Suhaila Diana binti Ahmad Mokhtar. Pandangan mereka bertaut seketika. Lama siswa itu menunggu jawapan dari mulut siswi itu, namun siswi itu terus membisu.
Dentuman guruh di angkasa memutuskan kenangan Suhaila. Dia memalingkan badannya ke kanan dan terpandanglah poster di papan kenyataan di luar dewan kuliah berhubung minggu suaikenal awal semester lalu yang masih terpampang di situ. Suhaila tersenyum. Ingatannya mengimbau kembali kenangan lalu ketika mendaftarkan diri di universiti ini lima semester yang lalu.
Seakan ternampak di ruangan matanya bagaimana Encik Husni Hashim, Penolong Pendaftar Kanan dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni mengendalikan sesi taklimat dengan bantuan barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Sahabat Mahasiswa Universiti (SMU).
”Masih terngiang-ngiang lagi ditelingaku suara siswa dan siswi baru yang berpakaian seragam berwarna merah hati itu bergemuruh menyanyikan lagu Ibu Kandung Suluh Budiman. Lagu itu memang hebat, bisik hatinya kembali. Benarlah kata kawan-kawannya lagu patriotik universiti ini mampu menerjah ke dalam jiwa, membakar semangat waja bakal pendidik dengan semangat kegemilangan UPSI sebagai sebuah Universiti yang Bitara dalam pendidikan.
“Bitara?...apa ke benda tu?” bisik seorang siswa kepada teman di sebelahnya. Temannya hanya menggelengkan kepalanya. Siswa itu berbisik pula pada rakan siswa lain di sebelah kirinya. Teman itu turut menggelengkan kepalanya.
“Entahlah akupun tidak tahu...”jawab siswa itu kembali. Dia memandang wajah sahabat yang baru dikenalinya itu dengan seribu persoalan.
“Bitara itu bermaksud tiada taranya atau tiada tandingannya. Universiti ini bitara dalam kepimpinan pendidikan. Hanya Universiti ini sahaja yang memfokuskan pelajaran dan pembelajaran kepada bidang pendidikan! Universiti lain tidak begitu” suara Encik Husni Hashim dari atas pentas SITC. Seakan dia mendengar apa yang dibisikkan oleh siswa-siswa tersebut. Siswa yang berbisik tadi kelihatan tercengang kehairanan. Begitu juga rakan di sebelahnya. Mereka berpandangan sesama sendiri.
“Agaknya Encik Husni ini ini bomoh tersohor kot? ” bisik siswa itu kembali. Encik Husni Hashim, pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang berpengalaman. Apa yang tersirat dalam minda kita dapat dibacanya. Siswa itu tersenyum melirik wajah temannya itu yang bercakap dalam loghat Kelantan
”Cepatnya masa berlalu, kini Suhaila hampir ke penghujung pengajian di Universiti ini. Hanya tinggal dua semester lagi aku di sini, bisik hatinya yang terapung bangga. Impiannya ialah untuk menjadi pendidik, kerjaya yang menjadi cita-citanya sejak dahulu. Malah dia berazam untuk tidak akan hampakan harapan UPSI demi negara tercinta.
“Setiap graduan dari UPSI perlu memahami Falsafah Pendidikan Negara sebelum mula melangkah ke alam pekerjaan” ujar Suhaila memberikan pendapatnya. Zuraini binti Haji Wanda, teman serumahnya tersenyum melirik ke wajahnya.
“Mudah sajalah Falsafah Pendidikan Negara” ujar Zuraini penuh yakin. Loghat Peraknya kedengaran masih pekat.
”Cubalah awak sebutkan” ujar Suhaila dan tersenyum melirik wajah Zuraini yang nampak berisi badannya itu. Rambut Zuraini ikal mayang lepas bebas di paras bahu.
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.” Zuraini berhujah dalam bahasa baku yang agak panjang lebar. Terpamer kepuasan di wajahnya.
“Fuyoo! Hebatlah awak, Zu!…Tidak sangka awak dapat menjawabnya. Awak hafal ke?” soal Suhaila dan ketawa.
Zuraini kembang kempis lubang hidungnya menerima pujian sebegitu. Dia menarik nafas dan tersengeh.
”Alamak terlupa pulalah!” Zuraini menggaru-garukan kepalanya. Matanya terkebil-kebil memandang siling apartment kediaman di kolej Za’ba.
“Lecehlah kau ini Zu!...Pantang dipuji sedikit, mulalah lupakan diri!” Suhaila berkata sinis. Zuraini terus menggaru-garukan kepalanya.
“Apa lagi sambungannya haa?..Aku betul-betul pelupa ni!” Zuraini terus menggaru-garukan kepalanya. Suhaila menggelengkan kepala melihat keletah sahabatnya itu.
“Ala Zu...Senang ajelah!...Falsafah ini adalah usaha bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab. Lebih penting lagi berkeupayaan untuk mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara”. Balas Suhaila dengan lancar.
“Haa…yang itulah yang aku nak sebut tadi…”
Lamunan Suhaila terhenti dipancung suara Zuraini yang baru habis kuliah dan kini sudah berada di sisinya. Hujan masih menderu di luar sana. Angin berdesau kencang.
“Bila hendak berhenti hujan ni haa? Aku sudah kebulur benar ni. Nanti kalau aku mampus kat sini, bagaimana?” becok mulut Zuraini. Suhaila menarik nafas seketika dan berpaling melirik wajah sahabatnya itu.
”Sesekali bagus juga hujan lebat begini” Suhaila bersuara lembut.
”Mengapa pula awak kata begitu?”
”Kalau hujan turun lebat begini dapat juga kita kurangkan makan” Suhaila tersenyum melirik wajah Zuraini yang berbadan agak berisi itu.
”Maksud kau diet ke? Aku sudah cuba amalkannya tetapi tidak berjaya?” Zuraini mengeluh. Ada nada kekesalan dalam nada suaranya kerana masih gagal menurunkan berat badannya itu. Apa yang dia risau ialah berat badannya semakin bertambah seperti tayar dipam angin.
”Boleh berjaya asalkan ada kesungguhan” ujar Suhaila dalam nada memujuk. Zuraini melirik wajah sahabatnya itu dan kemudian melontar kembali pandangannya ke luar jendela. Hujan masih menggila dan belum ada tanda akan teduhnya.
”Yalah, badan awak sedia langsing bolehlah cakap macam itu...tetapi aku ini? Sudah puas aku mencuba menahan, namun masih gagal” Zuraini seakan kecewa.
”Awak bukannya gemuk cuma sedikit bersisi aje” Suhaila cuba memujuk sahabatnya itu agar tidak terlalu menyalahkan diri sendiri.
”Sedikit berisi itulah yang aku bimbang ini. Ada ke cara lain untuk aku kelihatan langsing seperti awak?” Zuraini merengek manja. Suhaila ketawa memandang Zuraini.
”Apanya yang ketawa itu?” soal Zuraini kembali. Dia teringin benar untuk kelihatan langsing seperti sahabatnya, Suhaila. Personaliti Suhaila yang anggun ditambah pula wajahnya yang ayu memikat ramai siswa yang memandang wajahnya.
”Berjoginglah setiap hari, rencanakan kalori pemakanan, amalkan diet dengan sempurna, libatkan diri dalam olahraga di peringkat kolej, menahan godaan makan, elakkan makanan ringan yang diragui kandungannya, lebihkan makan buah-buahan dan sayuran dan jangan lupa banyakkan minum air suam” ujar Suhaila seperti pakar pemakanan dan kecantikan. Zuraini melopong seketika. Timbul rasa kagum dalam hatinya mendengar kata-kata sahabatnya itu.
”Patutlah personaliti Suhaila kelihatan anggun sekali” hatinya berdetik. Zuraini akui ada kebenaran pesanan Dato’ Naib Canselor UPSI yang mengatakan untuk menjadi guru cemerlang, penampilan diri bakal pendidik dari UPSI perlu dibentuk agar selari dengan kemerlangan akademik yang diperolehi. Nama baik UPSI perlu dijaga agar imej universiti ini terus dijulang.
” Hujan sudah teduh, marilah kita balik, nanti ada yang kebulur kalau lama di sini” Suhaila menggiat Zuraini.
”Kau sindir aku ye? Tapi tak mengapalah. Banyak juga pelajaran aku dapat dari pensyarah muda ini sementara menanti detik hujan teduh” ujar Zuraini menggiat Suhaila. Ketawa mereka berbaur bersama. Dari jauh kelihatan Razali, siswa berkulit hitam manis itu melambaikan tangannya ke arah mereka berdua. Mereka mula melangkah meninggalkan perkarangan dewan kuliah bersama siswa dan siswi yang lain. Di ufuk barat cahaya matahari mulai menerangi semula kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris yang tersohor namanya sejak berzaman.

Monday, August 17, 2009

CERPEN- KUNTUM-KUNTUM MAWAR MERAH DI PAGAR CINTA

Hujan renyai-renyai kini bertukar menjadi lebat. Cuaca panas yang pengap di dalam bilik itu kini bertukar menjadi lembab. Tempiasan air hujan dari cucur atap rumah teres tiga bilik di Taman Sentosa Tanjung Malim itu kian galak menerjah ke wajahnya yang kelihatan masih muda. Namun tempiasan air hujan itu tidak langsung dihiraukannya. Dia masih terus berteleku di jendela. Fikirannya menerawang jauh melepasi lapisan langit ketujuh!

”Ibu, tutup jendela! hujan lebat!” jerit anak lelakinya yang berusia tujuh tahun. Jeritan Haidar membuatkan Shareena tersedar dari lamunannya. Dengan spontan daun jendela itu ditutupnya. Shareena menoleh memandang anak sulongnya yang masih berunifom sekolah. Entah bila bas sekolah yang di naiki anaknya itu melewati hadapan rumahnya, dia sendiri tidak pasti.

”Ibu tidak sedar hujan turun?” soal Haidar penuh kehairanan. Shareena tersenyum memandang wajah anak sulongnya. Tangannya meraup rambut anaknya ke belakang membuang titisan air hujan. Dia mencapai tuala bersih di sisi katil dan mengesat rambut anaknya. Shareena tersenyum memandang wajah anak sulongnya. Jauh di sudut hati dia merasa amat bahagia mempunyai anak seperti Haidar yang petah berkata-kata walaupun usianya masih muda menjagung.

”Haidar pergi tukar baju, mandi dan pakai pakaian kering yang ada dalam almari pakaian. Nanti boleh makan bersama ibu” perintah Shareena. Dia melangkah ke arah ruangan dapur. Sempat juga dia menjengah sebentar ke dalam bilik belakang. Hatinya merasa lega bila melihat dua orang lagi anaknya masih nyenyak tidur. Hairey berusia empat tahun sudah disuapkan nasi sementara Haimey yang berusia lapan bulan sudahpun menyusu. Shareena menyendukkan nasi yang masih panas ke dalam pinggan. Aroma ayam masak kicap yang dimasaknya memenuhi ruangan dapur. Itulah menu kegemaran anaknya, Haidar. Malah, itulah juga menu kegemaran bekas suaminya suatu masa dahulu.

”Bekas suami? Ahh!..Biarkanlah! Buat apa aku masih ingatkan dia? Buat rengat sahaja! Bukankah dia sudah meninggalkan aku beberapa bulan yang lalu? ” bisik hati Shareena dengan wajah mencuka. Air matanya sudah banyak tertumpah dalam mempertahankan mahligai rumah tangga yang dibina atas pilihan keluarga. Kini segalanya sudah mumur. Dia yang sudah disahkan sebagai ibu tunggal oleh Mahkamah Syariah, malah sudah melangkaui tempoh edah tiga kali suci. Walaupun begitu, belum lagi terlintas di hatinya untuk mencari pengganti. Dia juga berjanji pada diri sendiri untuk tidak menangis lagi.

”Abang...Sha minta abang ubah perangai yang kerap keluar malam. Abang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak. Kesian pada Haidar, dia selalu bertanya abang pergi ke mana setiap malam?” Shareena cuba memberi nasihat pada suaminya pada suatu malam. Namun suaminya yang sudah siap berpakaian terus membisu. Malah, kehadirannya di dalam bilik utama rumah itu seolah-olah tidak pernah dirasai kewujudannya. Tanpa menjawab dan memandang ke wajah Shareena, suaminya mencapai kunci kereta dan mula melangkah ke arah pintu.

”Abang!..Kalau abang sudah bosan pada Sha, cakaplah! Janganlah anak-anak yang tidak berdosa itu dihukum!” suara Shareena kedengaran bergema. Suaminya yang mula melangkah ke arah pintu terhenti. Wajahnya mulai merah menyinga. Bola matanya tersembul meratahi wajah Shareena yang gobar itu.

”Awak boleh tidak tolong diam? Bingit telinga aku! Ikut suka akulah hendak ke mana!. Awak tidak ada hak mengongkong aku, faham!” jerkah suaminya dengan congah. wajahnya kelihatan merah padam.

”Sha bukan berniat mengongkong abang...Setiap malam abang keluar rumah dan baliknya dinihari. Sha minta abang fikirlah, Abang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak. Kalau abang sudah tidak sayangkan Sha lagi, Sha boleh terima hakikat tersebut. Cuma Sha minta abang fikirkanlah masa depan anak-anak kita yang masih kecil itu” suara Shareena kedengaran bergetar. Wajahnya mulai kemerahan menahan emosi.

”Sha! Bukankah aku sudah cakap tadi! Jangan mengongkong kebebasan aku! Aku hendak keluar ke mana? keluar dengan siapa? Balik jam berapa? Tolong jangan ambil tahu, boleh?” jerkah suaminya yang perus. Serentak itu satu hayunan penampar hinggap di pipi kiri Shareena. Haidar dan Hairey meluru memeluk ibunya yang tersungkur di lantai. Kedua anak yang masih kecil itu menangis ketakutan.

”Sampai hati abang memukul Sha begini! Kalau abang sudah ada perempuan lain cakaplah bang! Jangan menghukum Sha begini!” suara Shareena tersekat di kerongkong. Suaminya melangkah keluar dengan dentuman daun pintu yang ditarik kuat. Terasa bagaikan gugur jantung Shareena. Dia yang masih terjelepok di atas lantai dengan linangan air mata. Darah merah dari mulutnya menitis ke lantai. Sejak peristiwa malam itu, suaminya tidak pulang lagi ke rumah. Puas sudah dia cuba menghubung telefon bimbit suaminya namun tidak mendapat jawapan. Betapa luluh hatinya dua minggu selepas peristiwa itu bila menerima mesej dari suaminya melalui sistem pesanan ringkas (sms); dia telah ceraikan dengan talak satu!

”Sedapnya Ibu!” Haidar berkata dengan girangnya. Shareena tersedar dari lamunannya. Dia tersenyum menyembunyikan luka di hatinya yang berdarah.

”Makan perlahan-lahan. Jangan gelojoh!” ujar Shareena berwajah ceria. Seboleh mungkin perasaan anak-anaknya perlu dijaga. Dia tidak mahu anak-anaknya yang masih muda menjagung itu tahu betapa deritanya dia dalam menempuhi saat-saat perpisahan begini. Kalau boleh dia hendak sentiasa tersenyum dan ketawa biarpun batinnya terseksa.

”Lepas makan, jangan lupa pergi mengaji” Shareena memberi arahan. Haidar terus menyuap nasi ke mulut dengan begitu berselera sekali. Dua kali tambah nasinya. Shareena tersenyum puas!

”Ibu, tadi ustaz di sekolah ajar cara-cara bersembahyang berjemaah. Haidar teringin sangat hendak sembahyang berjemaah di masjid dengan Papa. Kalau Papa ada, tentu boleh bawa Haidar ke masjid macam Azim dan Mirul” Haidar berkata dalam nada ceria. Namun keriangan di wajahnya itu tidak lama. Senyuman di wajahnya bertukar menjadi mendung. Suapannya terhenti. Haidar membasuh tangan dan berlari ke dalam bilik. Daun pintu bilik dikunci dari dalam. Shareena terpingga-pingga seketika. Segera dia membasuh tangan dan meluru ke arah pintu bilik anak sulongnya. Shareena mengetuk daun pintu.

”Haidar! Mengapa tidak habiskan nasi di atas meja? Mari keluar sayang. Tak baik tau membiarkan rezeki begitu!” Shareena terus memujuk. Namun tiada kedengaran suara Haidar. Shareena terus memujuk anak sulongnya. Namun Haidar terus membisu.

”Nanti Haidar keluar makan ya? Jangan bazirkan makanan begitu, Tuhan marah!” Shareena terus memujuk. Tidak lama selepas itu Haidar keluar dari dalam bilik. Matanya kelihatan merah berkaca-kaca. Shareena memeluk tubuh anak sulongnya. Air mata Haidar membasahi pipi.

”Maafkan Haidar, Ibu. Haidar nak jadi macam kawan-kawan. Ramai bersembahyang berjemaah dengan abah mereka di masjid. Mengapa Papa tinggalkan kita, Ibu?” soalan Haidar bagaikan sembilu menusuk kalbu. Air mata Shareena kian membasahi pipinya yang kian cengkung itu.

“Sabarlah sayang. Nanti Papa bawa Haidar bersembahyang di masjid” pujuk Shareena dengan suara bergetar. Tangannya terus mengusap rambut anak sulongnya itu.

“Papa bukan ada di sini! Papa sudah tidak sayangkan Haidar lagi!” Haidar bersuara dalam sendu. Air matanya terus membasahi pipi.

”Siapa cakap Papa tidak sayangkan Haidar? Papa masih sayang Haidar, Papa sayangkan Hairey, Papa sayangkan Haimey” pujuk Shareena dengan suara lunak. Matanya kelihatan berkaca-kaca. Tangannya masih mengusap rambut anak sulongnya dengan belaian mesra.

”Ibu bohong! Kalau Papa sayangkan Haidar, mengapa Papa tidak balik ke rumah? Mengapa Papa pukul Ibu? Haidar lihat Ibu selalu menangis waktu malam. Papa jahat!” Haidar bercakap dengan nada kuat dan bergema. Shareena terkedu mendengar Haidar berkata begitu. Bola mata Haidar dipandangnya lama. Ada keiklasan dalam ungkapan anaknya itu. Shareena sedar Haidar sudah membesar dan sudah faham apa yang berlaku berhubung keretakan rumah tangga yang dialaminya.

”Haidar, Ibu dengan Papa tidak boleh tinggal serumah macam dulu lagi. Papa sudah ceraikan Ibu” Shareena bercakap dalam nada tersekat-sekat. Dia sedar, Haidar sudah besar dan sudah mengerti apa yang sedang ditanggunginya. Dia lebih suka berterus terang dengan anak sulongnya, biarpun usia anaknya masih muda menjagung.

”Haidar benci Papa! Haidar boleh hidup tanpa Papa! Haidar nak belajar jadi orang pandai! Haidar nak masuk universiti! Haidar akan jaga Ibu sampai hari kiamat!” jerit Haidar dan memeluk Ibunya. Shareena merangkul tubuh Haidar. Pecahlah tangisan dua beranak itu umpama pecahnya empangan Ma’arif yang memusnahkan kerajaan Saba’yang masyhur pada zaman Nabi Sulaiman dahulu.

Di luar, terdengar ada orang mengetuk daun pintu. Shareena merungkai pelukkannya. Dia mengesat air matanya dengan kertas tisu. Kemudian dia meluru ke pintu. Seorang pekerja syarikat penghantaran cepat sudah tercegat di pintu. Di tangannya ada satu jambangan bunga. Shareena menandatangani slip penghantaran. Jambangan bunga itu di sambutnya. Shareena tersenyum tawar memandang tulisan pada sekeping kad yang kerap diterimanya di pejabat. Malah, kawan-kawan sepejabat terutama Zuraidah yang curiah selalu menyindirnya.

Tulisan pada kad jambangan bunga masih bergema dalam kepalanya. ”Sha, Yus tahu Sha sedang bercuti. Terimalah jambangan bunga ini sebagai tanda ingatan yang mulus dari Yus”. Shareena meletakkan jambangan bunga di atas meja ruang tamu. Haidar membelek-belek jambangan bunga di atas meja.

”Siapa kirim jambangan bunga ini Ibu?” soal Haidar ingin tahu. Matanya masih lekat pada jambangan bunga di atas meja.

”Entahlah Haidar. Biarlah di situ!.. Ibu tidak pernah minta semua pemberian ini” balas Shareena perlahan. Dalam kepalanya sudah terbayang wajah Encik Yusri, Pegawai Perhubungan Pelanggan yang juga bertugas sepejabat dengannya. Encik Yusri, berkulit putih, kacak dan berusia di awal empat puluhan. Malahan Encik Yusri jugalah yang sering memberi pelbagai cendera hati dan mengambil berat tentang dirinya.

”Mungkin Encik Yus itu benar-benar cintakan awak, Sha” Zuraida memberikan pendapatnya semasa keluar makan tengahari bersama Shareena di Gerai Kak Pah di Medan Selera Tanjung Malim.

”Tiada maknanya, Zu! Bukankah Encik Yus itu sudah berkeluarga dan sudah mempunyai anak?” soal Shareena dalam nada meninggi. Zuraida tersenyum. Dia melirik wajah Shareena yang mulai kemerahan menahan emosi.

”Apa salahnya jika niatnya baik?” balas Zuraida menduga hati sahabatnya itu. Shareena mencebekkan wajahnya.

”Ahh! Aku rasa dugal. Orang lelaki semuanya sama sahaja! Lembut gigi daripada lidah jika belum dapat. Jika sudah dapat, lain pula ayatnya...”jawab Shareena sinis.

”Benar kata awak. Orang lelaki, mana kira itu semua? Jika hati sudah cinta, status dirinya mudah terlupa! Giang!” balas Zuraidah sinis. Pelayan Gerai Kak Pah membawa makanan yang dipesan; nasi campur berlaukkan ikan kembung dan ikan keli bakar, air asam, masak tempoyak ikan patin, masak lemak nenas ikan masin dan pajeri terung. Tidak lupa sambal belacan dan sayur periya goreng ikan bilis. Rasanya begitu menyelerakan! Sebab itulah Gerai Kak Pah begitu popular bagi penggemar nasi campur di Pekan Tanjung Malim.

”Aku akui Encik Yus itu memang baik. Wajahnya juga kacak. Malah dia sering mengambil berat tentang diri aku. Tapi susahlah Zu! Aku tidak sanggup bermadu dan melukakan hati kaum sejenis. Ayat-ayat cinta yang diungkapkan Encik Yus benar-benar membuatkan aku menjadi buntu!” suara Shareena tersekat di kerongkong.

”Awak ni ada-ada sahaja alasan. Kalau sudah jatuh cinta terima sahajalah Encik Yus sebagai pengganti!” usek Zuraidah dan ketawa.

Di meja sebelah, kelihatan Dr Joelati bersama Dr Roskam, pensyarah Jabatan Seni UPSI sedang menjamah kuew-tiaw kerang special. Sesekali sempat juga Dr Joelati mengusek dan mengenyitkan matanya pada Shareena yang berwajah ayu itu.

”Hai Dr Joe, lebih afdal jika Dr Joe kenyit mata pada isteri di rumah” balas Shareena dengan sinis. Dr Joelati terbatuk-batuk. Dr Roskam menggelengkan kepalanya melihat gelagat kawannya itu yang berkumis menggoda dan sudah mula bertukar warna. Seketika kemudian berderailah ketawa dua orang pensyarah itu. Shareena dan Zuraidah turut ketawa dan ketawa mereka berbaur bersama.

”Entahlah Zu!...Hati aku ini masih tertutup lagi untuk menerima kehadiran mana-mana lelaki dalam hidup ini. Mungkin esok atau lusa hati aku akan terbuka, siapa tahu?” balas Shareena dalam nada perlahan. Zuraidah terus menyudu nasi campur ke mulutnya.

”Aku dengar bukan sahaja Encik Yus jatuh cinta pada awak, malah ramai lagi yang ingin masuk melamar, termasuklah seorang anggota keselamatan. Betulkah begitu, Sha?” soal Zuraidah dalam nada mengusek.

”Mana ada! Macamlah aku ini artis popular yang menjadi rebutan ramai. Merapeklah awak ini Zu!” balas Shareena dan ketawa. Nostalgia indah itu terputus bila telefon bimbit Shareena yang terletak di atas meja berdetik beberapa kali. Shareena membaca sms yang tertera.

”Sha sayang, Abang menyesal kerana mengabaikan Sha dan anak-anak. Abang mengaku abang deder. Maafkanlah abang. Abang sedang dalam perjalanan balik ke rumah. Kita ke Mahkamah Syariah untuk proses nikah semula. I miss you so much”. Shareena tergamam. Imbasan wajah bekas suaminya yang perus itu tenggelam timbul berselang seli wajah kacak Encik Yusri. Kepalanya menjadi pengeng secara tiba-tiba. Dia benar-benar berada di persimpangan jalan yang berliku. Pandangan matanya menjadi berpinar.

Di pintu pagar, terdengar hon kereta dibunyikan. Haidar meluru ke arah pintu. Seorang lelaki di usia awal empat puluhan melangkah keluar dari dalam kereta. Penampilannya begitu bergaya. Lelaki itu tersenyum memandang Shareena yang berdiri di hadapan pintu. Di tangan kanannya ada sekuntum mawar merah lalu dihulurkan kepada Shareena.

”Encik Yus? Err...Apa ertinya pemberian ini?” soal Shareena dengan suara bergetar. Di seberang jalan kelihatan bekas suami Shareena baru sahaja sampai dan melangkah turun dari kereta. Dia juga turut melambaikan tangannya ke arah Shareena. Di tangannya juga kelihatan sekuntum mawar merah. Pandangan mata Shareena menjadi gelap. Dia terjelepok di hadapan pintu. Di dada langit, mentari bersaga mulai dilitupi mendung kelabu yang berarak perlahan dihembusi sang bayu.

GLOSARI

Afdal - Terbaik

Berpinar -penglihatan mata berkunang-kunang

Congah- Angkuh

Curiah- Peramah

Deder- Lalai

Dugal- Rasa loya

Giang- lelaki yang miang

Gobar – Sedih hati

Mulus- Tulus iklas

Mumur- Hancur lebur

Pengap- menyesakkan nafas

Pengeng-Berasa pening kepala yang amat sangat

Rengat- Sakit hati

Perus- bengis dan kasar

Teleku- Bertelekan dengan siku